Halaman Facebook

Wednesday, April 25, 2012

Konteks Dunia Sudah Berubah Kala Umat Mencari Arah


هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ

Umat hari ini semakin parah. Walaupun jika kita amati kesedaran terhadap pro-Islam semakin berkembang dalam kalangan masyarakat hari ini berbanding tahun-tahun terdahulu, namun itu hanyalah sekadar kesedaran atas dasar turutan taqlid sahaja. Umat hari ini terkesan dengan kesedaran pro-Islam hanyalah disebabkan faktor teknologi semata, bagaimanapun syukur alhamdulillah setidaknya mereka sedar tentang ilmu agama yang selama ini hanyalah dipegang oleh golongan tertentu yang mana pendapat mereka adalah 'wahyu dari Tuhan'.

Saya teringat ketika ayah saya cerita apabila kita mengenang kembali sewaktu zaman dimana murid-murid sekolah rendah wajib memakai seluar pendek dan kita lihat guru agama pun tidak memakai tudung walaupun yang mereka ajar itu subjek agama. Sewaktu itu sangatlah jahil masyarakat tentang Islam, mereka hanya mengikut-ikut perbuatan yang diturunkan terhadap mereka sehinggalah sekarang.

Ketika internet mula meluas dan masyarakat sudah pun berpeluang memasuki alam dunia siber tanpa batasan, ilmu dengan mudah mengalir-alir di hujung jari. Tekan itu dapat ini, tekan ini dapat itu. Lebih-lebih lagi sekarang dengan pelbagai pakej yang menawarkan kelajuan melayari internet. Banyak ceramah-ceramah agama yang kita lihat bosan di masjid, tapi bila tonton di Youtube kita dapati sangat menarik kerana kita boleh baring,makan,berborak dengan kawan, tunggang terbalik pun orang tak kisah. Mungkin ini sebabnya kurangnya anak muda ke masjid.

Setiap perkara ada negatif dan positif perspektif. Tangan yang menggunakannyalah yang bertanggungjawab atas natijah sesuatu perkara. Samalah seperti internet. Jika kita mahu, boleh saja kita buka laman web mungkar dan boleh saja kita buka laman web makruf. Bergantung pada kita untuk gunakannya. Sistem pemerintahan juga telah berubah. Jika dahulunya Islam begitu terkenal dengan empayar khalifahnya yang agung, tetapi hari ini kebanyakannya menggunakan sistem demokrasi mahupun monarki. Setiap sistem punya sisi gelap dan terangnya, terpulang pada kita bagaimana untuk mentadbirnya.

Dunia sudah berubah. Islam yang dahulunya hebat kini menjadi kerdil di mata dunia. Bukan kerdil dalam kuantiti, tetapi dalam kualiti keseluruhannya. Islamlah yang ditembak dan dipanah dengan prejudis lagi tuduhan. Sedangkan umat Islam itu sendiri yang perlu dipersalahkan. Kata-kata Jamal ad-Din al-Afghani atau Muhammad Abduh yang terkenal:

"Islam itu dihijab oleh kaum Muslimin"
(Dr Asri, (2010), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication)

Ali Tantawi dalam Mauqufuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat mengatakan:

"Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam menghina Islam"
(Dr Asri, (2010), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication)

Kita dapat lihat situasi ini zaman sekarang yang mana umat Islam itu sendiri gagal melaksanakan tuntutan agama yang asas sekalipun. Begitu banyak dakwah untuk menutup aurat sehinggakan saya sudah muak bila melihatnya kerana perkara kecil pun susah untuk kita pertahankan apatah lagi mewujudkan kegemilangan Islam semula. Alangkah jauhnya angan-angan saya hari ini.
Umat sekarang gemar mendengar tentang kehebatan Islam dahulukala sahaja tanpa berbuat apa-apa. Mereka gemar dengan kisah Sultan al-Fateh yang menawan Konstantinopel dan Salahuddin al-Ayubi yang menawan Baitul Maqdis tetapi gemarnya mereka itu sekadar seperti menonton wayang dikala cuti sekolah.

Selain soal aurat, soal lain juga payah hendak ditegakkan sedangkan perkara yang wajib. Sifir hari ini, "kalau perkara senang pun tak buat, macam mana nak buat perkara besar". Mereka sewenangnya meremehkan perkara yang wajib dan haram tetapi bila timbul isu seperti murtad dan yahudi, seolah merekalah barisan pertama dalam peperangan. Begitu semangat ingin menentang musuh Islam hanya dengan menekan butang 'like' dan 'share' dalam Facebook dan 'memboikot' (yeke?) barangan musuh Islam. Sehinggakan saya lucu hati gelagat sesetengan orang yang bimbang akan adanya lambang yahudi di dalam komputer sehingga sanggup menggodeh sedalamnya tetapi lupa dengan pengaruh yahudi di luar sana contohnya dunia hiburan.

Dahulu umat Islamlah yang lebih maju sehinggakan Barat terpaksa bergantung kepada ilmu Islam untuk maju sama. Prof Bernard Lewis dalam bukunya The Muslim Discovery of Europe secara tegas menjelaskan dunia Islam jauh lebih maju daripada Barat ketika zaman gelap mereka. Pendapat itu disokong oleh Rob Briffault dalam karyanya The Making of Humanity.
(Dr Khairul Azmi, (2003), Kepimpinan Politik Dalam Islam: Satu Analisis Awal Dalam Konteks Malaysia, Kertas Kerja Seminar "Islam,Politik dan Kerajaan")

Hari ini ramai anak muda terbang mencari ilmu di luar negara mahupun dalam negeri berkenaan ilmu-ilmu kritikal (Ramai juga yang ketinggalan). Merekalah harapan umat Islam untuk membawa Islam ke hadapan. Tetapi bagaimana mungkin semua ini berlaku jika anak muda sekarang begitu sibuk dengan soal cinta, hiburan dan permainan yang menyesatkan. Setiap perbincangan mereka hanyalah berkisarkan perkara lagha yang 'tak masuk kepala' oleh kebanyakan golongan akademik. Jika bercakap soal ilmu sekalipun, hanya berkisarkan silibus yang mereka pelajari tidak jauh dari itu dan untuk menghadapi peperiksaan. Lihatlah sekarang ini apabila mereka dihanyutkan oleh 'korean style' dan merasa rugi kerana tidak dapat pergi ke konsert di tanah air.

Manakala golongan yang 'tak berapa nak muda' hari ini pula sibuk dengan politik semasa yang sering tak habis dengan strategi 'selak kain' untuk menangi hati manusia. Segala aib lawan mereka akan didedahkan tidak kira cara macam mana sekalipun dan kawan seperjuangan akan dibela bermatian. Agak kelakar apabila hukum hakam Islam pun hendak dipolitikkan, maka nampak kejahilannya seperti isu wang dikembalikan semula kerana kerajaan negeri ada judi di negeri terbabit (Genting tu apa?) dan tidak dapat membezakan tuduhan zina dengan mangsa rogol lalu menampakkan lagi Islam itu begitu kotor. Inilah perosak agama. Amat malang sekali terdapat sesetengah agamawan yang turut menyokong mereka dan sanggup diseksa sekalipun.
Di pihak yang sana pula apabila timbul isu qazaf maka digunanya ulama' daripada Syiria untuk menjadikan rujukan. Saya katakan, hal ini bagus tetapi dalam hal ini sahaja kah baru kita nak kembali pada Islam? Selama ini tak pernah pun beramal dengan akhlak Islam, bila tergugat kedudukan barulah nak jemput ulama'.

Hari ini semuanya berpecahan. Islam yang pada asasnya menyatukan semua pihak tidak diikuti malah diingkari kerana masing-masing sudah pandai dan berlagak dia sahaja yang betul. Walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat mereka yang taksub ini dengan mudah membuat tuduhan melulu mengeksploitasi nas-nas syarak untuk kepentingan sendiri. Kunci syurga hanya dipegang oleh mereka. Walaupun terdapat pihak yang berdakwah dan terkenal, mereka akan berasa cemburu lalu menyerang mengatakan sudah menyimpang dari ajaran Islam seperti isu edit video mengaibkan seorang ustaz terkenal. Ironinya mereka berpegang pada ajaran 'salaf' yang mengajar umat Islam supaya menjaga aib orang sekalipun.
Akibat daripada sikap inilah mereka yang lain muak dengan pro-Islam lalu merasakan agama ini sekadar makin menyesatkan orang ramai.

Kata-kata Hasan al-Hudaibi pernah berkata:

"Tegakkan Islam dalam dirimu nescaya akan tertegak Islam di tanah airmu".

Tuesday, April 17, 2012

Kitab Terjemahan Ta'liq Siyasah Syar'iah oleh Syeikh Muhammad bin Soleh Utsaimin

السلام عليكم 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا, ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له  ونشهد أن محمدا 

Alhamdulillah, atas kurnia Allah s.w.t saya dapat membaca kitab terjemahan Ta'liq Siyasah Syar'iah yang dikarang oleh seorang tokoh ulama' yang disegani iaitu Syeikh Muhammad bin Soleh Utsaimin. Pada asalnya kitab Siyasah Syar'iah ini ialah kitab yang dinukil daripada pemikiran tokoh terkemuka di dunia Islam, Syaikhul Islam Ibn Taimiyah lalu dita'liq oleh  Syeikh Muhammad bin Soleh Utsaimin. Kitab ini yang pada asasnya membicarakan bab politik dan pemerintahan yang digunakan daripada kaedah Rasulullah s.a.w itu sendiri. 

Daripada kitab terjemahan ini,saya akan memberi beberapa pandangan peribadi yang saya yang fakir ini atas sedikit ilmu yang saya ada. Matan-matan arab yang tidak dapat disertakan di sini amat dikesali dan sebarang teguran boleh diutarakan.
Segala isi di dalam penulisan ini (seperti hadis) adalah bersumberkan kitab ini dan sebarang sumber lain akan dinyatakan di mana rujukannya.

 *Hakcipta oleh penerbit kitab ini ialah:
(Edisi Indonesia)
GRIYA ILMUJl. Raya Bogor # H. Rafi'i No. 24A Rambutan - Jakarta Timur 13830

Definisi as-Siyasah asy-Syar'iah dalam pengertian khusus adalah "Segala hal yang bersumber dari pemegang kebijakan (penguasa), seperti hukum dan peraturan-peraturan yang bergantung pada adanya kemaslahatan dan dalam permasalahan yang tidak memiliki dalil khusus lagi spesifik tanpa menyalahi syari'at. (ms 14) 

Seperti yang kita sedia maklum, pensyariatan terhadap ketaatan kepada pemimpin itu sudah diwajibkan ke atas umat Islam berdasarkan ayat al-Qur'an di dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang biasa kita dengar dikhutbah Jumaat masjid-masjid selatan tanah air kita.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur`an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
[an-Nisa' ayat 59]

Ayat ini menyuruh kita mentaati pemimpin dalam kalangan kita sendiri, bermaksud bahawa pemimpin itu kita pilih sendiri daripada kalangan kita. Bukan dari pihak luar ataupun mereka yang mengaku mendapat kuasa pemerintahan daripada Tuhan sepertimana teori "divine right" yang dipraktikkan oleh tamadun Barat sewaktu zaman gelap mereka. Sesiapa sahaja tidak boleh mempersoalkan apa sahaja tindakan pemerintah mereka walaupun kejam sekalipun dan mendapat sokongan daripada pemutar belit agama iaitu golongan agamawan mereka yang menggunakan nama "gereja" dan "agama".
Berlainan dengan Islam, pemimpin itu dipilih oleh Allah pada asalnya seorang Rasul iaitu Muhammad s.a.w. Rasul ini bukanlah daripada makhluk yang lain, tetapi seorang manusia juga, dan hamba kepada Allah juga. Walaupun Rasulullah s.a.w itu dilantik oleh Allah, namun tidaklah baginda sewenang-wenangnya membuat keputusan secara sesuka hatinya. Bahkan baginda juga meminta pendapat dan cadangan para sahabat daripada proses musyawarah dalam sesuatu isu untuk membuat keputusan.
Di dalam ayat ke 58 surah yang sama di atas, Allah memerintahkan pemimpin itu supaya menjalankan amanat dengan baik dan bersikap adil terhadap rakyatnya.

 إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًۭا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
[an-Nisa' ayat 58]

Ini menunjukkan sebelum kita diperintahkan oleh Allah supaya taat setia kepada pemerintah kita, mereka terlebih dahulu diberi arahan supaya menjalankan amanah dan bersikap adil terhadap sesiapa yang mereka perintah.
Seorang pemerintah tidak boleh ditaati sekiranya keputusan yang mereka lakukan itu bertentangan dengan  syariat Islam itu sendiri berlandaskan hadis daripada riwayat Ibn Umar:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
“Mendengar dan taat adalah haq (kewajipan) selama tidak diperintah berbuat maksiat. Apabila diperintah berbuat maksiat maka tidak ada (kewajipan) untuk mendengar dan taat.”         
[Riwayat Bukhari]

Sebagai pemimpin kaum Muslimin,mereka perlu memilih orang yang paling layak untuk memangku jawatan khas di bawah pemerintahannya. Jawatan yang khas ini contohnya dalam konteks tempat dan zaman sekarang ialah seperti kabinet dan ketua hakim negara atau ketua polis negara. Pemimpinlah yang bertanggungjawab untuk memilih yang terbaik dalam kalangan kelompok walaupun tidak sehaluan pemikiran atau agenda politik.
Ini berdasarkan hadis:

"Barangsiapa yang menugaskan seseorang kepada suatu kelompok sementara dia menemukan dalam kelompok tersebut seorang yang lebih baik dari orang itu, maka sungguh dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman"
[Riwayat al-Hakim di dalam Sahihnya]

Pemimpin itu perlulah memilih mereka yang layak sahaja untuk memangku sesebuah jawatan, jangan hanya memilih mereka yang mempunyai persamaan pemikiran kerana itu akan mengakibatkan wujud pengeksploitasian kuasa. Tiada "check and balance" antara satu sama lain lalu yang menjadi mangsa ialah rakyat apabila masing-masing membela ahli mereka sendiri daripada sebarang kesalahan.
Mungkin ada diantara kita yang mengatakan bahawa "kami memang tak kenal si fulan,tapi kami pilih dia berdasarkan sijil yang dia ada". Benar kata-kata ini, tetapi jika kita dapati mereka tidak mampu untuk menjalankan tugas dengan amanah, cekap lagi bersih perlulah untuk kita memberhentikan perkhidmatan mereka atau memberi jawatan lain yang sesuai dengan mereka. Bahkan dalam konteks zaman sekarang setiap pekerjaan itu ada satu jabatan khas yang ditugaskan untuk menilai prestasi kita. Hal ini dapat kita pelajari di dalam ilmu "pengurusan sumber manusia". Seperti contoh badan yang bebas daripada kuasa kerajaan ialah Jabatan Audit Negara yang baru-baru ini telah membongkar segala penyalahgunaan kuasa golongan pentadbir awam di Malaysia.
Bahkan Umar al-Khattab, seorang khalifah bagi tamadun Islam yang agung pada masa itu tidak memilih keluarga beliau untuk memangku jawatan di bawah pentadbiran beliau. Anaknya, Abdullah bin Umar itu hanya mendapat jawatan sebagai pengawas biasa sahaja. Itulah contoh yang terbaik dapat kita lihat di zaman khalifah Umar al-Khattab.

Seorang pemimpin juga ialah mereka yang dipilih oleh orang dalam kalangan rakyat itu sendiri tanpa meminta jawatan itu sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Inilah sunnah yang sebenarnya berdasarkan hadis:

"Sesungguhnya Kami tidak melimpahkan urusan kami ini kepada orang yang memintanya"
[Riwayat Bukhari dalam kitab al-Ahkam dan Muslim dalam kitab al-Imarat]

"Barangsiapa yang meminta jabatan dan memohon bantuan untuk mendapatkannya, nescaya Allah tidak akan menolongnya. Dan barangsiapa yang tidak meminta jabatan dan tidak membantuan untuk mendapatkannya, nescaya Allah akan menurunkan malaikat yang akan membantunya"
[Riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad]

Dalam sejarah teologi Islam, khalifah agung Islam seperti Khulafa' ar-Rasyidin dan Umar Abdul Aziz dalam kerajaan Umaiyyah adalah dilantik bukan dari kehendak mereka sendiri. Walaupun mereka sangatlah alim lagi bijaksana, malah sangat berkelayakan dalam kepimpinan tidaklah pernah mereka walaupun sekali meminta supaya dipilih menjadi pemerintah kaum Muslimin.
Contoh yang dapat kita lihat ialah sewaktu Abu Bakar as-Siddiq yang mencadangkan pemimpin setelah beliau iaitu Umar al-Khattab di dalam suratnya:

“Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayat di dunia ini, sedang keluar darinya, dan permulaan tempoh di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku –dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun buat Allah, rasulNya, agamaNya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).
[http://drmaza.com/home/?p=438]

Kita seringkali dilihatkan dengan kemewahan pemimpin yang pada pemikiran tipikal Melayu sekarang mengatakan "mereka itu pemimpin, jadi mereka berhak mendapat upah atas pengorbanan mereka". Lalu terjadilah pemborosan wang negara yang hanya didedahkan oleh parti lawan kerajaan (parti kerajaan) dan berleluasa pada masa kini. Pemikiran rosak dan jahil ini lahir daripada mereka yang menghasut pelajar-pelajar dan orang awam bahawa wang kerajaan itu hak milik kerajaan dan rakyat perlu bersyukur terhadap pemberian wang itu.
Hal ini sangat merendahkan nilai rakyat yang bersusah payah membayar cukai langsung dan cukai tak langsung lalu di basuh otaknya mengatakan bahawa itu memang kewajipan seorang rakyat.

Lalu apabila mereka telah terpedaya dengan kata-kata hikmat tersebut, apabila ditunjukkan istana,rumah agam,kereta mewah hasil daripada "wang kerajaan", mereka akan kagum dan merasakan hebatnya menjadi "orang yang menguruskan wang rakyat" langsung tidak memikirkan keborosan wang tersebut yang boleh diberikan kepada fakir miskin yang bergelandangan dan ada yang terpaksa meminta bantuan gereja tatkala orang Islam sendiri bermewahan??

Disebutkan satu kisah, satu hari Abu Muslim al-Khaulani menemui Mu'awiyah bin Abi Sufyan sambil berkata kepadanya, "Assalamualaikum wahai orang yang diupah." Orang-orang yang berada di tempat itu berkata, "Katakanlah Assalamualaikum wahai Amirul Mukminin!" Tetapi Abu Muslim tetap mengatakan, "Assalamualaikum orang yang diupah." Mereka kembali mengatakan, "Katakanlah wahai sang Amir!" Namun Abu Muslim tetap mengatakan yang sama. Akhirnya Mu'awiyah berkata, "Biarkan sahaja Abu Muslim mengatakan sedemikian kerana sesungguhnya dia lebih mengetahui apa yang dia katakan."
[Riwayat Bukhari dalam kitab al-Ahkam dan Muslim dalam kitab al-Iman]

Seterusnya di dalam kisah Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”. Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah”.

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana,harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.
Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis.

Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku:“Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.
Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu.Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya.Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”.
(lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
[http://drmaza.com/home/?p=137]

Seringkali juga apabila kita membaca media arus perdana mempamerkan sesetengah pemegang jawatan pemerintah yang turun padang bertemu rakyat dan dilabel dengan nama "berjiwa rakyat". Maka sebaik sahaja penduduk di kampung-kampung terlibat mengetahui yang kampung mereka akan diziarah oleh "pemerintah berjiwa rakyat", berpulas tenaga dan wang ringgit mereka korbankan semata-mata untuk menyambut kedatangan orang "berjiwa rakyat". Dari pengangkutan, makan minum dan penginapan semuanya atas tajaan "wang kerajaan" semata-mata.

"Ala, wakil rakyat datang biarlah kita layan dengan baik. Lagipun dia yang akan suarakan kehendak kita di Parlimen (Dewan Rakyat) nanti." Begitulah suara hati penduduk kampung yang ikhlas memberi segala-galanya percuma kepada "pemerintah berjiwa rakyat" supaya nasib mereka kelak akan dibela, terutamanya dekat-dekat nak pilihanraya ni. "Takpelah, dia nak bela nasib kita".

Diriwayatkan di dalam Muttafaq Alaih (Sahih Bukhari dan Muslim), Abu Humaid as-Sa'idi berkata: Nabi s.a.w menugaskan seorang lelaki dari Bani Azdi untuk mengambil zakat darinya, yang bernama Ibnul Lutbiyyah. Maka tatkala kembali, ia berkata, 'Bahagian ini untuk kalian, sedangkan ini dihadiahkan kepadaku.' Maka Nabi s.a.w bersabda, 'Ada apa gerangan lelaki ini, kami menugaskannya untuk melaksanakan satu pekerjaan yang merupakan amanah Allah kepada kami, kemudian dia berkata, 'Ini bahagian untuk kalian dan ini bahagian dihadiahkan kepadaku?'
Maka tidakkah dia sekadar duduk di rumah, kemudian perhatikanlah apakah hadiah itu datang kepadanya atau tidak? Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, segala sesuatu yang dia ambil dari zakat tersebut akan dia panggul di pinggulnya pada Hari Kiamat kelak, baik harta itu berupa unta yang menderum, sapi yang mengeluh atau kambing yang mengembik.'
Baginda lalu mengangkat kedua tangannya ke langit hingga kami melihat kedua ketiaknya (beliau bersabda): 'Ya Allah, aku telah menyampaikan!" (Baginda mengucapkan tiga kali)
[Riwayat Bukhari dalam kitab al-Ahkam dan Muslim dalam kitab al-Imarah]

Berdasarkan hadis ini, walaupun seorang pengutip zakat (amil) itu juga mempunyai hak dalam zakat tetapi hadiah yang diterimanya tidak boleh diterima kerana ianya diberikan atas nama jawatan tersebut. Sehinggakan Rasulullah memberitahu sama ada dia akan dapat hadiah itu jika dia duduk di rumah sahaja, yang bermaksud jikalau bukan kerana jawatan itu orang tidak akan memberikan hadiah kepada yang diberikan amanah itu.

Sekadar di sini sahaja yang ingin saya sampaikan. Diharapkan perkongsian ini jika terdapat kesilapan bolehlah ditegur atas dasar keikhlasan.

Semoga tuan puan juga dapat diberikan peluang untuk membaca kitab ini.

Wallahualam.



Friday, December 30, 2011

BERTUNANG GAYA ISLAM

BERTUNANG GAYA ISLAM

Ada yang bertanya kepada saya, bagaimanakah cara bertunang yang dianjurkan menurut Islam?

Jawapan saya: Saya minta maaf, saya tidak arif tentang itu kerana ketika ditanya saya sendiri belum tahu bagaimana cara bertunang yang dianjurkan dalam Islam. Tetapi, setelah saya meneliti apa yang disebutkan di dalam kitab-kitab ulama, peminang seharusnya:

(1) Sudah bersedia untuk berumah tangga.

Sabda Rasulullah SAW:
مَنِ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ
Ertinya: “Barangsiapa yang sudah berkemampuan untuk berumah tangga, maka berkahwinlah!” (Riwayat al-Bukhari)

(2) Melihat wanita yang ingin dipinang.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا ». قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا ».
Ertinya:
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Pada suatu hari, sedang aku berada hampir dengan Nabi SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki mengkhabarkan kepada baginda “Aku akan mengahwini seorang wanita.” Lantas Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “Sudahkah kamu lihat wanita tersebut?” Lelaki itu menjawab, “Belum.” Rasulullah SAW pun bersabda, “Pergilah dan lihatlah kepadanya.!” (Riwayat Muslim)

(3) Memilih wanita yang baik agamanya.

Sabda Rasulullah SAW:
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Ertinya: “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang baik agamanya. Jika tidak, kamu akan berdukacita.” (Riwayat al-Bukhari)

(4) Berjumpa dengan keluarga wanita tersebut dan menyatakan hasrat untuk melamar.

عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - خَطَبَ عَائِشَةَ إِلَى أَبِى بَكْرٍ فَقَالَ لَهُ أَبُو بَكْرٍ إِنَّمَا أَنَا أَخُوكَ ، فَقَالَ « أَنْتَ أَخِى فِى دِينِ اللَّهِ وَكِتَابِهِ وَهْىَ لِى حَلاَلٌ » .
Ertinya: Daripada Urwah RA, sesungguhnya Nabi SAW pergi meminang Aisyah kepada Abu Bakar. Lalu Abu Bakar berkata kepadanya, “Sesungguhnya saya ini adalah saudaramu.” Rasulullah SAW bersabda, “Kamu adalah saudaraku seagama dan menurut kitabnya (di sisi al-Quran), sedang Aisyah adalah halal untuk saya kahwini.” (Riwayat al-Bukhari)

(5) Melamar janda dengan menggunakan orang tengah.

عَنْ أَنَسٍ وَهَذَا حَدِيثُ بَهْزٍ قَالَ لَمَّا انْقَضَتْ عِدَّةُ زَيْنَبَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- لِزَيْدٍ « فَاذْكُرْهَا عَلَىَّ ».
Ertinya: Daripada Anas RA, ini adalah hadis Bahz RA, dia berkata: “Ketika Zainab (bekas isteri Zaid) telah selesai ‘iddah, Rasulullah SAW bersabda kepada Zaid, “Wahai Zaid, pergilah kamu melamar Zainab untukku.” (Riwayat Muslim)

(6) Memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah semasa meminang.

Sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ أَمْرٍ ذِى بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيهِ بِالْحَمْدِ أَقْطَعُ
Ertinya: “Setiap perkara yang bernilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.” (Riwayat Ibnu Majah)

(7) Menyatakan hasrat untuk melamar.

“Kami datang untuk meminang anak kamu.”
Habib Ali al-Jufri dalam salah satu ceramahnya menyarankan supaya berkata kepada bapa atau wali wanita itu:
“Jika kamu melihat pada diri saya sesuatu yang diredhai oleh Allah, maka terimalah lamaran saya.”

(8) Menanti jawapan wanita yang dipinang.

« لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ وَلاَ تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ » . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ « أَنْ تَسْكُتَ »
Ertinya: “Seorang janda tidak boleh dikahwinkan begitu saja sebelum meminta persetujuannya, dan seorang gadis (anak dara) tidak (baik) dikahwinkan sebelum meminta persetujuannya.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana caranya (untuk mengetahui persetujuannya)?” Rasulullah SAW bersabda, “Diamnya (itulah tanda persetujuannya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Wallahu a'lam bis shawab.

Sumber Rujukan:
(1) Al-Fiqh al-Manhaji. Dr. Mustafa al-Bugha, Dr. Mustafa al-Khen, Ali al-Syarbaji.
(2) Sistem Kekeluargaan Dalam Islam. Prof. Madya Dr. Musa bin Fathullah Harun.
(3) Maktabah Syamilah: Sunan al-Sittah.

Thursday, December 29, 2011

Surat Berantai Memusnahkan Akidah


Assalamualaikum..

Ramai antara kita yang telah menerima bermacam-macam jenis surat berantai. Tidak kiralah dari segi persahabatan ataupun agama. Surat berantai ini biasanya menyuruh kita menghantar kepada beberapa orang. Tetapi surat berantai ini juga mampu merosakkan akidah.


Kongsi

Twitter Facebook More